Sunday, December 30, 2012

ConsFood Yakim Jaya




Apabila bercakap tentang bahan-bahan bakeri, teman-teman malahan adik iparku (Anis@Home Bakery Chef) sering menyebut "Cuba cari di ConsFood". Sudah lama juga aku mendengar nama itu disebut-sebut namun masih belum ada kesempatan untuk ke sana.

Hari ini aku nekad ke tempat itu bukan kerana suka-suka tetapi ada misi yang perlu kulaksanakan. Aku ke ConsFood di Taman Yakim Jaya kerana janjiku kepada suamiku bahawa aku akan membuat Apple Pie Crumble untuk dihadiahkan kepada teman sekerjanya pada 2 Januari tahun depan. Niat asalku mahu membeli pie crust, epal dan vegetable shortening. Memang bahan-bahan itu kutemui. Namun setelah berada di pasar raya mini itu, aku dipukau oleh barangan sejuk beku yang ada terjual di sana. Keinginanku untuk mencicipi pepperoni dan chicken sandwich slice yang halal (agak sukar diperoleh di Sabah) akhirnya termakbul apabila kedua-duanya ada di Consfood.




Selain barangan sejuk beku, ConsFood juga terkenal dengan bahan untuk membuat kek, biskut dan pelbagai lagi peralatan bakeri. Kedai ini juga ada kafenya yang tersendiri. Cuma aku belum sempat menikmati rangkaian menunya yang dikatakan sedap itu.




- Posted using BlogPress from my iPad

Monday, December 24, 2012

Akaun Facebook Ditamatkan


Hari ini aku nekad menamatkan akaun Facebook yang telah kubina sejak 4 tahun yang lalu. Penghijrahan harus dimulakan agar aku tidak mudah bosan dengan aktiviti bersosial secara maya ini.  Detik-detik yang berlalu kita perlu manfaatkan dengan sesuatu yang baharu dan segar. Mulai saat ini teman-teman sekalian bolehlah mengikutiku di Google+ dan Twitter sahaja. Salam hormat.

Friday, December 7, 2012

Enaknya Durian Kuning

Musim durian sudah tiba di Negeri di Bawah Bayu. Di sana-sini ada saja kelihatan longgokan durian sama ada di dalam van, lori atau kereta, atau di gerai-gerai tepi jalan. Yang murah, yang mahal, berbagai-bagai harga diletakkan mengikut kategori durian. Kalau kahwin!, mahal sedikit. Kalau nak yang murah, carilah durian lokal@kampung. Tapi yang paling uniknya di Sabah ini ialah durian kuning. Spesis durian jenis ini hanya terdapat di Borneo. Kepada mereka yang sudah merasai durian ini pastinya akan mengatakan "lebih enak daripada durian putih". Memang unik dan sedap. Ada yang berpendapat makan banyak manapun durian ini tidak mengapa kerana ia "tidak panas". Aku memang sukakan durian ini dari dahulu, kini dan selamanya. Gambar di atas itu ialah isi durian kuning yang dibelikan oleh suamiku dari Labuan.