Thursday, November 21, 2013

Saat Terindah 2013

Ahlamdulillah. Benarlah kata pepatah "Tuah manusia, tiada siapa yang tahu". Hanya Maha Pencipta yang Maha Mengetahui apa yang telah dan bakal terjadi. Suratan telah tertulis untuk setiap saat nafas kita dihembuskan. Tanggal 13 November 2013 menjadi detik paling indah dalam hidupku sepanjang tahun ini. Pada tarikh keramat ini, aku melangkah di atas permaidani istana negeri Sabah untuk menerima anugerah Darjah Kebesaran Negeri "Ahli Setia Darjah Kinabalu" dari TYT Negeri. Yang pasti suamiku ialah peneman setia yang sentiasa menjadi tulang belakang kepada kejayaan karierku.












Friday, November 15, 2013

Detik-detik Lalu Ditinggalkan Di Belakang


Hi! Rakan blogger! Kita bertemu kembali setelah sekian lama aku terhenti menghantar berita di laman sosial ini. Sibuk amat mengekangku mengetik papan kekunci komputerku. Ah! Begitu banyak detik-detik lalu kutinggalkan di belakang tanpa sempat ku nukilkan di sini. Namun, peristiwa lalu itu bakal aku upload di lembar selanjutnya dalam tempoh terdekat.

Wednesday, June 26, 2013

Berdiam diri tidak bermakna menghilang diri



Lama juga tidak ku update laman blogger ini. Kesibukan ya 'sibuk' dengan bermacam-macam kerja di pejabat. Apatah lagi dalam keadaan akan menjelangnya Ramadan, semua projek yang dirancang pada suku tahun kedua ini dilaksanakan sesegeranya. Hampir-hampir sahaja aku kehilangan nafas dan kudrat. Nah! Hari ini bertandang lagi ke kota Sandakan untuk ke sekian kalinya atas tugas menatar warga kerja Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) yang begitu sekali membutuhkan khidmat DBP. Dan untuk ke sekian kalinya juga aku melabuhkan rehatku di hotel yang sama, Sabah Hotel. Alhamdulillah.

Wednesday, February 27, 2013

Mempermudah kerja, hidup lebih bahagia


Sejak membeli ketuhar Hanabishi 34L pada harga RM219 di Parkson, kurasakan dunia masak-memasakku semakin mudah. Tidak ada alasan lagi bagiku untuk berasa penat dan malas memasak setiap kali pulang dari pejabat, Isnin hingga Jumaat. Apa yang ada di dalam peti sejuk di rumah kuolah sesedapnya, lalu kusumbat sahaja ke dalam ketuharku. Masa yang selebihnya kugunakan untuk kerja-kerja yang lain. Alhamdulillah, duit bonus yang kuterima hujung tahun lepas tidakku sia-siakan begitu sahaja. Pelaburan RM219 itu amat berfaedah dan membantuku menjimatkan banyak masa, serta memjadikan dunia memasakku lebih kreatif.


Macaroni and Cheese resipi Martha Stewart


Apple Crumble Pie resipi Allrecipes.com


Roast Platter resipiku


Meatloaf Puff resipiku


Bread Pudding resipi Simply Recipes


Roast Chicken Wings with Honey resipiku


Simply Dinner resipiku

Tuesday, February 12, 2013

Bersantai di Simpang Mengayau

11 Februari 2013, menjadi detik pertama buat suamiku menjejakkan kakinya di Simpang Mengayau, Kudat, yang dikatakan sebagai Puncak Borneo. Perjalanan kira-kira 2 jam 30 minit dari Kota Kinabalu tidaklah memenatkan kerana jalan rayanya datar walau agak tidak berada cantik rupanya. Bagi ku ini merupakan kali kedua aku berkunjung ke tempat ini. Kebetulan hari tersebut ialah hari cuti umum "TAHUN BARU CINA", maka ramailah juga pengunjung@pelancong bertandang ke tempat berkenaan.


Awas! Papan tanda seperti ini tidak banyak! Jadi kalau memandu tu, janganlah laju, dan ambillah peluang melihat keadaan sekeliling, bagi mengelakkan tersesat.


"Sampang Mangayau Longhouse" salah satu tempat penginapan "budget". Memang bentuknya seperti rumah panjang.


Pejabat pendaftaran untuk penginapan yang lebih "Eksklusif" berbentuk calet.


Gerbang ke calet.


Inilah calet-caletnya! Memang menarik dan romatik! Pemandangan tebing yang indah.


Sebahagian batu yang membentuk puncak Borneo jika dilihat pada peta Sabah.


Laluan pejalan kaki! Kereta atau kenderaan lain "No Entry".


Orang yang pertama kali menjejakkan kaki sedang girang melompat! Macam gaya Shaolin.


Tangga hanya disediakan sampai palang itu sahaja. Sebenarnya tidak digalakkan turun ke batu-batuan di bawah bagi menjaga keselamatan pengunjung. Tapi ada juga pengunjung yang degil, termasuk aku, turun juga ke bawah tu.


Berada di atas puncak Borneo. Udara segar dihirup terasa bagai burung bebas terbang di langit.


Inilah batu mercu tanda Simpang Mengayau. Kalau dah sampai di sini, mesti bergambar di hadapan batu ini.

Saturday, February 2, 2013

Mencuba Nasib! Jika berjaya, NAIK! Jika tidak, TUNGGU!


Begitu cepatnya masa berlalu. Tanpa sedarku, tampaknya sudah 20 tahun aku berkhidmat dengan Dewan Bahasa dan Pustaka. Dalam tempoh itu, kurasakan sudah banyak kejayaan yang kucapai. Di gedung ini aku menemui JODOHKU (17 tahun yang lalu). Di gedung ini aku memperoleh SARJANAKU (10 tahun yang lalu). Di gedung ini aku NAIK PANGKAT ke S44 (7 tahun yang lalu). Kemudian NAIK PANGKAT lagi ke S48 (2 tahun yang lalu). Alhamdulillah, Allah ternyata sentiasa memberikan rezeki kepada hamba-hamba-Nya yang terus berusaha. Tahun ini, 2013, aku menerima pelawaan TEMU DUGA S52. Aku akur dengan pelawaan itu, sama seperti akurnya aku ketika menerima pelawaan temu duga kenaikan pangkat sebelum ini. Selebihnya kuserahkan kepada Allah untuk menentukan rezekiku.

Sunday, January 13, 2013

ABM Fajeer: Pujangga Ulung Sabah kembali menemui Penciptanya


ABM Fajeer atau nama penuhnya Mohd Fajeer Awang Besar, dilahirkan di Sri Lanka, India pada 30 Disember 1952. Mendapat pendidikan awal di SRK Berhala Darat dan Sekolah Menengah Sung Siew, Sandakan. Kemudian melanjutkan pelajaran di Maktab Sabah, Kota Kinabalu. Pernah bertugas sebagai Timbalan Presiden I Majlis Perbandaran Sandakan, setelah memegang jawatan Setiausaha Majlis Perbandaran Sandakan sejak majlis itu ditubuhkan pada 1982.

Puisi-puisi beliau tersiar di akhbar-akhbar tempatan, dan antologi puisi seperti Gema Lembah Kinabalu, Nyanyi dari Dewa, Siapakah antara Kita (1988), Sewaktu Bertemu (1986), Rinduku Sebuah Nusa (1995), Tasbih Hayat (2001), dan Kita Kata Kota (2004). Antologi persendirian berjudul Taufan telah diterbitkan oleh DBP Cawangan Sabah pada 2004.

Beliau juga memimpin Warna-warni Seni Sandakan (Warisan) yang ditubuhkan pada 1979. Pernah menerima Hadiah Sastera Sabah pada 1973 (kategori puisi), Tokoh Sastera Sandakan Dekad 80-an pada 1991, Anugerah Tokoh Penyair Islam Sabah ke-11 pada 2004, dan Anugerah Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sabah pada 2005.


8 Januari 2013, pujangga unggul Sabah ini telah kembali kepada Penciptanya. Marilah kita bersama-sama menyedekahkan al-Fatihah kepada Allahyarham. Semoga rohnya aman dan sentiasa di bawah rahmat Allah SWT.

Tuesday, January 8, 2013

2013 = 50 kg


Baru-baru ini aku membuat pemeriksaan kesihatan bagi mengenal pasti tahap kesihatanku pada usia yang menjangkau ke ambang senja ini. Umumnya memanglah keputusan itu mengisyaratkan bahawa kesihatanku pada tahap yang baik, namun aku tidak berpuas hati dengan angka yang ditunjukkan pada ruangan BERAT dan LEMAK TUBUH. Alamak! Betapalah aku semakin "memberat" sejak 2 tahun ini. Aku ingin sihat, tetapi aku juga tidak mahu gemuk "lemak". Aku nekad bahawa tahun 2013 ini, aku harus menurunkan beratku sebanyak 4.7 kg itu supaya lemak tubuhku dalam lingkungan 20-29.


Sudah lama aku mengintai-intai produk pelangsingan dari Swiss S-recipes. Namun keinginanku untuk mencubanya belum timbul sehinggalah saat aku mengetahui bahawa aku perlu bertindak segera mengurangkan beratku sebelum bertambah berat. Lalu kelmarin aku menerima tempahan pertamaku yang dikirim melalui pos laju. S-recipes mengandungi ramuan organik yang dijamin halal dan selamat digunakan. Dengan hanya 16 sachet pada harga RM180.00, diminum sekali setiap hari 15 minit sebelum sarapan. Ya hari ini aku memulai program pelangsinganku. Mudah-mudahan berjaya, dan akan ku khabarkan berita baiknya selepas hari keenam belas nanti.


Monday, January 7, 2013

Puff Sosej Rangup


Aku peminat nombor satu Puff Sosej. Dulu aku sering membayangkan betapa rumitnya membuat kuih ini. Terutama sekali mahu mendapatkan adunan tepung yang boleh menghasilkan lapisan-lapisan rangup setelah dibakar. Namun kini segala-galanya sudah dipermudah. Kalau tidak tahu atau malas menguli tepung, jangan risau kerana di pasaran ada dijual pelbagai jenama ready to use puff pastry. Begitu mudah hingga anda terasa seperti pastry chef yang hebat. Petang kelmarin aku mencuba membuat puff sosej dengan menggunakan puff pastry jenama KAWAN yang pastinya dijamin halal.


Dan hasilnya seperti yang kalian lihat pada gambar di atas. Memang mengkagumkan. Kini aku sudah bisa membuat Puff Sosej bila-bila sahaja tanpa perlu bersusah payah, dan semudah 1, 2, 3. 1) Keluarkan kepingan puff pastry daripada bungkusan (tidak perlu dicanai). 2) Letakkan sosej di bahagian tengah, dan dilipat segitiga. Kelimkan bahagian tepi dengan garfu. 3) Sapukan kuning telur pada permukaan setiap puff. Bakar selama 30-40 minit pada suhu 170 darjah selsius.

Nostalgia Kembara Bahasa 2012

Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) disambut pada bulan September setiap tahun. Acara kebangsaan anjuran DBP dengan dukungan padu Kementerian Pelajaran Malaysia ini menjadi wahana perpaduan bangsa Malaysia melalui 1 bahasa iaitu bahasa kebangsaan. Di Sabah, acara kemuncak BBK 2012 ialah Kembara Bahasa yang melalui pusat daerah Kota Kinabalu, Kudat, Sandakan, Lahad Datu dan Tawau, mulai 31 Oktober 2012, dan berakhir pada 5 November 2012.