Sunday, January 13, 2013

ABM Fajeer: Pujangga Ulung Sabah kembali menemui Penciptanya


ABM Fajeer atau nama penuhnya Mohd Fajeer Awang Besar, dilahirkan di Sri Lanka, India pada 30 Disember 1952. Mendapat pendidikan awal di SRK Berhala Darat dan Sekolah Menengah Sung Siew, Sandakan. Kemudian melanjutkan pelajaran di Maktab Sabah, Kota Kinabalu. Pernah bertugas sebagai Timbalan Presiden I Majlis Perbandaran Sandakan, setelah memegang jawatan Setiausaha Majlis Perbandaran Sandakan sejak majlis itu ditubuhkan pada 1982.

Puisi-puisi beliau tersiar di akhbar-akhbar tempatan, dan antologi puisi seperti Gema Lembah Kinabalu, Nyanyi dari Dewa, Siapakah antara Kita (1988), Sewaktu Bertemu (1986), Rinduku Sebuah Nusa (1995), Tasbih Hayat (2001), dan Kita Kata Kota (2004). Antologi persendirian berjudul Taufan telah diterbitkan oleh DBP Cawangan Sabah pada 2004.

Beliau juga memimpin Warna-warni Seni Sandakan (Warisan) yang ditubuhkan pada 1979. Pernah menerima Hadiah Sastera Sabah pada 1973 (kategori puisi), Tokoh Sastera Sandakan Dekad 80-an pada 1991, Anugerah Tokoh Penyair Islam Sabah ke-11 pada 2004, dan Anugerah Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sabah pada 2005.


8 Januari 2013, pujangga unggul Sabah ini telah kembali kepada Penciptanya. Marilah kita bersama-sama menyedekahkan al-Fatihah kepada Allahyarham. Semoga rohnya aman dan sentiasa di bawah rahmat Allah SWT.

Tuesday, January 8, 2013

2013 = 50 kg


Baru-baru ini aku membuat pemeriksaan kesihatan bagi mengenal pasti tahap kesihatanku pada usia yang menjangkau ke ambang senja ini. Umumnya memanglah keputusan itu mengisyaratkan bahawa kesihatanku pada tahap yang baik, namun aku tidak berpuas hati dengan angka yang ditunjukkan pada ruangan BERAT dan LEMAK TUBUH. Alamak! Betapalah aku semakin "memberat" sejak 2 tahun ini. Aku ingin sihat, tetapi aku juga tidak mahu gemuk "lemak". Aku nekad bahawa tahun 2013 ini, aku harus menurunkan beratku sebanyak 4.7 kg itu supaya lemak tubuhku dalam lingkungan 20-29.


Sudah lama aku mengintai-intai produk pelangsingan dari Swiss S-recipes. Namun keinginanku untuk mencubanya belum timbul sehinggalah saat aku mengetahui bahawa aku perlu bertindak segera mengurangkan beratku sebelum bertambah berat. Lalu kelmarin aku menerima tempahan pertamaku yang dikirim melalui pos laju. S-recipes mengandungi ramuan organik yang dijamin halal dan selamat digunakan. Dengan hanya 16 sachet pada harga RM180.00, diminum sekali setiap hari 15 minit sebelum sarapan. Ya hari ini aku memulai program pelangsinganku. Mudah-mudahan berjaya, dan akan ku khabarkan berita baiknya selepas hari keenam belas nanti.


Monday, January 7, 2013

Puff Sosej Rangup


Aku peminat nombor satu Puff Sosej. Dulu aku sering membayangkan betapa rumitnya membuat kuih ini. Terutama sekali mahu mendapatkan adunan tepung yang boleh menghasilkan lapisan-lapisan rangup setelah dibakar. Namun kini segala-galanya sudah dipermudah. Kalau tidak tahu atau malas menguli tepung, jangan risau kerana di pasaran ada dijual pelbagai jenama ready to use puff pastry. Begitu mudah hingga anda terasa seperti pastry chef yang hebat. Petang kelmarin aku mencuba membuat puff sosej dengan menggunakan puff pastry jenama KAWAN yang pastinya dijamin halal.


Dan hasilnya seperti yang kalian lihat pada gambar di atas. Memang mengkagumkan. Kini aku sudah bisa membuat Puff Sosej bila-bila sahaja tanpa perlu bersusah payah, dan semudah 1, 2, 3. 1) Keluarkan kepingan puff pastry daripada bungkusan (tidak perlu dicanai). 2) Letakkan sosej di bahagian tengah, dan dilipat segitiga. Kelimkan bahagian tepi dengan garfu. 3) Sapukan kuning telur pada permukaan setiap puff. Bakar selama 30-40 minit pada suhu 170 darjah selsius.

Nostalgia Kembara Bahasa 2012

Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) disambut pada bulan September setiap tahun. Acara kebangsaan anjuran DBP dengan dukungan padu Kementerian Pelajaran Malaysia ini menjadi wahana perpaduan bangsa Malaysia melalui 1 bahasa iaitu bahasa kebangsaan. Di Sabah, acara kemuncak BBK 2012 ialah Kembara Bahasa yang melalui pusat daerah Kota Kinabalu, Kudat, Sandakan, Lahad Datu dan Tawau, mulai 31 Oktober 2012, dan berakhir pada 5 November 2012.





































Thursday, January 3, 2013

Tahun Baharu, Wajah Baharu

Rasanya belum terlambat untuk aku menzahirkan ucapan Selamat Tahun Baharu 2013 kepada semua teman blogger yang sudi mengikutiku selama ini. Mudah-mudahan sahaja kita sentiasa mendapat rahmat dan berkat Allah SWT. Kepada yang masih bekerja dengan majikan masing-masing, seperti aku, bekerjalah dengan tekun dan ikhlas. Sesungguhnya bekerja itu ialah satu ibadah yang mendapat ganjaran pahala jika dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab. Sempena kehadiran tahun baharu ini juga, aku bertekad mengubah sedikit wajah blog ini agar tampak lebih ceria. Ehem seceria pemiliknya, insya-Allah.

Panas!...Panas!...Panas!

Hari ini masuk hari ke-2 penyaman udara di pejabat rosak. Bayangkan bekerja dari pukul 7.30 pagi hingga 4.30 petang dalam keadaan panas tentunya terasa amat tidak selesa. Hari ini aku mempersiapkan diri dengan membawa kipas dari rumah bagi menyelamatkan keadaan. Emmm...permulaan kerja hari pertama tahun baharu, warga kerja DBP Cawangan Sabah diuji sedemikian rupa. Alhamdulillah. Mudah-mudahan sahaja hari ini, penyaman udara dapat dipulihkan.

Tuesday, January 1, 2013

Misi Terlaksana "Apple Crumble Pie"

Sekian lama aku teringin membuat Pai Epal. Banyak resipi kukumpul daripada pelbagai sumber. Namun hanya pada hari ini aku berpeluang mencuba salah satu koleksi resipiku. Itupun setelah aku membeli sebuah ketuhar hasil daripada duit bonus baru-baru ini. Resipi Apple Crumble Pie ini mudah sahaja untuk disediakan.

Mula-mula sediakan pie shell. Gunakan sahaja ready made pie crust yang boleh dibeli di pasar raya. Canaikan pie crust tersebut mengikut saiz acuan pai.

Kemudian sediakan intinya. Epal dibuang kulit serta bijinya, dan dihiris. Gaulkan dengan gula merah dan sedikit serbuk kayu manis.

Seterusnya sediakan crumble. Untuk menyediakan crumble, gaulkan tepung gandum, gula dan mentega hingga menjadi seperti serbuk roti.

Masukkan hirisan epal ke dalam pie shell dan tutup bahagian atas pai dengan crumble. Bakar di dalam ketuhar selama 40-50 minit pada suhu 200 darjah celcius. SELAMAT MENCUBA.