Monday, December 29, 2014

Kacang Pool Juadah Mat Arab

Penangan sering menonton Jalan-jalan Cari Makan, akhirnya peluang berada di JB kugunakan untuk mencari lokasi keberadaan gerai Kacang Pool Haji. Tidaklah sukar mencarinya jika anda dilengkapi dengan GPS atau Google Maps app di peranti iPhone/iPad. Terletak hampir saja dengan bandar itu di Medan Selera Bomba Larkin. Nah nama itu harus ditaip tepat supaya cariannya persis.


Agak pelik juga rupanya apabila kali pertama dihidangkan di depan mata. Aku mula mengagak-agak rasa dan nikmatnya lewat pancainderaku. Tika aku berada di gerai ini memang ramai pengunjungnya yang juga rata-rata memesan menu yang sama. Nah sudah sah bahawa juadah ini popular dalam kalangan penduduk setempat. Bukan hanya makan di situ, malah ada juga yang membungkus untuk dibawa pergi (entah ke mana?).


Menarik dan enak rasanya. Semacam ada daging, kacang panggang yang dilenyek, rempah ratus (seakan-akan rasa beriyani), aroma bawang, rasanya manis sedikit pedas. Apabila ditambah dengan roti bakar yang dicarik-carik, kelazatannya lebih terserlah. Kacang Pool Haji! Unik!


Tuesday, December 23, 2014

Nasi Padang Bawah Pokok

Perjalanan hampir 350 kilometer dari KL selama 4 jam benar-benar mengundang lapar dan dahaga. Hakikatnya kami sudah berhenti singgah dua kali iaitu sekali di Rehat dan Rawat Seremban, dan sekali lagi di Rehat dan Rawat Pagoh.


Sebelum mengatur perjalanan ke Johor Bahru (JB), aku telah mengutip pelbagai maklumat tempat makan dan tempat yang boleh dilawat di JB. Ternyata usaha itu tidak sia-sia. Seusai tiba di Johor Bahru, kami menuju destinasi salah satu tempat makan paling popular di JB iaitu Kampung Melayu Majidee. Di sini terdapat beberapa gerai makan, salah satunya yang sempat kami kunjungi ialah Restoran Nasi Padang Bawah Pokok.


Pelbagai juadah masakan Padang dijual dan enak-enak belaka. Pilihanku yang pasti ialah ikan keli dan kupang.

Sunday, December 21, 2014

Sarapan Hujung Minggu

AHAD ialah hujung minggu yg malas. Malas bangun awal. Seusai Subuh mata melelap kembali. Merehat-rehatkan minda setelah berharian diulit kesibukan. Nah kali ini lidah ini teringin mencicipi keenakan air tangan chef Restoran Ali Maju. Biasalah...teh tarik secangkir disulami roti kaya sekeping.



Saturday, December 20, 2014

Rona Kusendra, Aku Rindu Padamu

Di Bumi Kenyalang bertuah tempat bermulanya kisah. Rona Kusendra lahir di bawah teraju 5 puteri dan 6 putera. Niat di hati mewara-wara bahasa dan sastera peribumi demi kelangsungan jati diri. Ainna, Step, Ila dan Kak Tim nama para puteri. Putera perkasa Shafiq, Shantrol, Azan, Wandy, Rasid dan Bang Poji nama diberi.


Walau kita tidak bersatu lagi. Jauh di mata nan di hati tetap terpateri memori. Rindu bertandang tidak tertahan lagi. Teringat tawa, teringat senyum, teringat jenaka, teringat usikan. Rona Kusendra, rinduku padamu tetap tersimpan rapat dalam raga nubariku.



Di pentas ini Rona Kusendra beraksi dengan semangat waja. Mengalun harmoni irama nusa Adai-Adai dan Puteri Santubong. Terngiang-ngiang rima beralun Rona Kusendra menyerlah mengharum.



Rona Kusendra betapa aku rindu untuk bersatu denganmu kembali. Bersama-sama sang putera puteri bergandingan memartabatkan seni. Di bawah payung kasih kita bersatu hati. Menebarkan bakti demi ibu pertiwi.