Thursday, January 1, 2015

Selamat Tinggal 2014!


2014 berlalu memahat kenangan manis dan pahit. Pembukaan tirainya disulami dengan reunion bersama teman-teman sekelas di SMK St. Paul Beaufort yang kutinggalkan pada tahun 1995. Alhamdulillah, pertemuan singkat itu mewarnai kembali rona memori manis zaman hingusan. Terima kasih sahabat-sahabatku.



Peredaran masa mengutip detik-detik waktu berlalu. Kehadiran Februari mengundang saat getir dan rontaan perasaan. Bumi bonda kutinggalkan demi menggalas amanah bangsa dan negara. Bumi Kenyalang, aku datang kepadamu untuk berbakti dan menambah rezeki.



Di Bumi Kenyalang, bakti dicurahkan tanpa mengenal agama, bangsa dan bahasa. Pengalaman kukutip semahunya demi menambah jati diri yang masih kurang. Kasihku kepada sahabat dan taulan asing tidak pernah berbelah bahagi. Enam bulan dilalui dengan tabah serta dedkasi, walau di bumi bonda aku kehilangan kasih kakak dan ibu tercinta. Ya Allah! Engkau cucuri rahmat ke atas roh Allahyarhama bonda Lasni Latif, dan kekanda Darmi Damis. Al-Fatihah.












Ketibaan Ogos mengulangi peristiwa Februari saat aku meninggalkan bumi bondaku. Kegetiran yang sama dirasai saat menerima amanah berhijrah lagi. Ya Allah! Besar amat nikmat-Mu dan tinggi amat hikmah takdir-Mu. Bumi Kenyalang, engkau terpaksa kutinggalkan. Kuala Lumpur, aku datang berkhidmat di bumimu.



TERIMA KASIH MENJUNJUNG BUDI kepada semua warga kerja DBP Cawangan Sarawak. Jasa dan budi baik kalian akan kupahatkan di nubari memoriku. Baki hari berlalu, kupenuhi dengan curahan bakti di bumi metropolitan. Meski tidak payah kerana aku sudah pernah berpijak selama 5 tahun di bumi ini, kecintaanku tidak pernah luntur kepada bumi bondaku dan bumi singgahanku. Ya Allah! Aku insan kerdil ini amat mensyukuri nikmat-Mu. Lindungilah aku dan keluargaku. Kasihilah kami tanpa henti. Mudah-mudahan 2015 mendatang memberikan 1001 kemanisan dalam ketakwaanku kepada-Mu.





No comments:

Post a Comment