Saturday, January 3, 2015

Kelahiran Nabi Muhammad SAW Penuh Keajaiban


Kelahiran Nabi Muhammad SAW merupakan anugerah besar. 40 tahun kemudian, Baginda diutus menjadi Rasulullah yang bukan hanya menyelamatkan Semenanjung Arab dari kejahiliyahan, tetapi juga menerangi seluruh dunia dengan Dinul Islam.

Tanda-tanda bahawa baginda ialah pilihan Allah telah kelihatan sejak lahir. Sekurang-kurangnya, ada 5 peristiwa ajaib yang mengiringi kelahiran baginda Rasulullah SAW sebagai manusia pilihan Allah SWT untuk menyebarkan agama-Nya di dunia ini. Sejak masih dalam kandungan ibunya, baginda telah membawa kewibawaan yang tidak dimiliki oleh bayi-bayi pada umumnya. Antara beberapa keajaiban sewaku baginda masih di dalam kandungan ibundanya sampai lahir ke dunia ini adalah seperti yang berikut :

Biasanya wanita yang mengandung akan selalu mengalami keadaan yang cepat letih dan merasa was-was akan bayi yang sedang dikandungnya samada anak itu lahir dengan sempurna atau tidak dan sebagainya. Namun keadaan seperti itu tidak berlaku kepada Aminah, bonda Rasullulah sewaktu mengandungkan baginda termasuk salah satu keajaiban bawaan Rasullulah SAW.

Sudah lazim bagi setiap wanita, ketika dirinya mahu melahirkan dia akan berasa kesakitan dan sakit perut yang tiada taranya. Tetapi perasaan seperti itu tidak dialami oleh Aminah sewaktu melahirkan Rasullulah. Malah dia merasakan biasa-biasa sahaja, bahkan perasaannya lebih tenteram .

Rasullulah SAW lahir dalam keadaan sudah dikhatankan. Kelahiran baginda menghalang naik turunnya syaitan ke langit untuk mencuri dengar perbicaraan para malaikat. Halimah As-Sa'diyyah, menjadi ibu susuan Rasullulah. Sebelum menyusukan Rasullulah, beliau seorang wanita yang telah kering susunya. Namun begitu, ketika beliau mahu menyusukan Rasullulah, tiba-tiba susunya menjadi melimpah-limpah. Begitu juga dengan ternakan peliharaannya. Sejak Rasullulah menjadi anak susuannya, ternakan peliharaannya menjadi bertambah biak dengan banyaknya. 

Ka'abul - Akhbar berkata, "Aku melihat dalam kitab Taurat bahawa Allah telah mengkhabarkan tentang kelahiran Nabi Besar Muhammad SAW. Allah berfirman bahawa ketika bintang yang kamu kenal dengan nama bintang "tsabit" itu bergerak dan menyembunyikannya kerana perasaan iri dan dengki yang bersarang di hati mereka." 

Dalam Kitab Zabur, Allah memberikan tanda-tanda kepada umat Nabi Daud tentang kelahiran Nabi Muhammad dengan suatu petanda. "Ketika mata air yang telah kamu kenal kering airnya, tiba-tiba memancarkan air dengan kuatnya maka pada waktu itulah kelahiran Nabi Muhammad SAW telah tiba." 

Ketika Nabi Muhammad SAW lahir tanda-tanda seperti yang tersebut dalam Kitab Zabur pun terbukti dan mereka mengetahuinya. Namun, mereka menyembunyikannya kerana perasaan iri hati dan dengki yang bersarang di hati mereka . 

Abdul Muthalib, datuk kepada Rasullulah SAW pernah berkata, "Ketika aku sedang berada di Kaabah di mana waktu Kaabah masih berisi patung-patung berhala, tiba-tiba patung itu jatuh dari tempatnya dalam keadaan bersujud di lantai Kaabah. Kemudian aku mendengar suara dari balik dinding Kaabah berbunyi, "Nabi yang dipilih telah lahir yang akan menghancurkan orang-orang kafir, dan membersihkan diriku dari beberapa patung berhala ini kemudian memerintahkan untuk menyembah kepada Zat Yang Merajai Seluruh Alam ini."

Keajaiban yang terjadi pada tumbuh-tumbuhan menjelang kelahiran Rasullulah SAW ialah menghijaunya tumbuhan yang tadinya telah kering, tiba-tiba menguning buah-buahannya dengan cepat dan melengkung dari dahan pohon itu ke tanah sehingga memudahkan pemiliknya untuk memetik. Kemudian, seolah-olah setiap binatang melata peliharaan orang-orang Quraisy turut bersuka cita atas kelahiran junjungan mulia Rasullulah SAW. 

Selain itu, bergembiranya para jin juga mewarnai kelahiran Nabi Muhammad SAW yang bererti juga ketakutan para pendeta Nasrani . 

Semua yang terjadi pada diri Rasullulah SAW dan keajaibannya tidak pernah ditemui pada diri manusia biasa. Itulah mukjizat yang baginda miliki menjelang kelahirannya, orang termulia di dunia dan akhirat ini. 

Masih ada lagi keajaiban yang mengemparkan seluruh jagat iaitu tersungkurnya berhala-berhala sembahan yang ada di istana-istana kafir. Bergembiranya binatang-binatang yang ada di penjuru-penjuru timur dan barat, baik binatang laut mahupun binatang darat berjalan dari tempatnya maka pada waktu itulah Nabi Muhammad SAW lahir. 

Peristiwa berjalannya bintang tsabit disaksikan oleh semua Yahidi. Tetapi mereka tidak menyiarkan tentang kelahiran Nabi Muhammad SAW yang telah mereka ketahui kerana rasa iri hati dan dengki yang bersarang di hati mereka sehingga mereka menyembunyikan khabar baik ini. 

Kepada kaum Nabi Isa a.s, Allah juga menkhabarkan tentang kelahiran Nabi Muhammad SAW, yakni seperti yang tertulis dalam kitab mereka "Ketika pohon-pohon kurma yang kering tiba-tiba keluar daunnya maka pada waktu itulah Nabi Muhammad SAW telah lahir ke dunia." 

Benarlah seperti apa yang telah ditulis dalam kitab umatnya Nabi Isa, telah menjadi kenyataan kerana pohon-pohon kurma yang telah kering dan hampir mati tiba-tiba keluar daunnya lagi. Perkara tersebut diketahui oleh golongan kaum Nasrani. 

Marilah kita bersama-sama memperbanyak selawat ke atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW demi untuk mengingati baginda. Moga-moga di akhirat kita akan dapat ganjaran-Nya atas selawat yang kita ucapkan ini. Allahuakhbar.

Petikan : 

Buku "Himpunan Kisah Para Sufi" 
Halaman 212-215
Muhamad Ibrahim Salim

No comments:

Post a Comment